Wan Mohd Fakhrul bersama ibunya. FOTO ihsan Wan Mohd Fakhrul Anwar
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: “Ibu perlukan perhatian 24 jam. Ibu hanya terlantar menyebabkan saya tidak boleh pergi ke mana-mana,” kata Wan Mohd Fakhrul Anwar Abu Bakar, 31, yang sanggup berhenti kerja untuk memberi perhatian terhadap ibunya yang terlantar lumpuh selepas diserang angin ahmar.

Menurutnya, ibunya, Remalah Shafein, 67, lumpuh sejak 2013 lalu selepas diserang angin ahmar menyebabkan bahagian kanan badan tidak boleh bergerak.

Dia yang menetap di Kota Bharu, Kelantan, sebelum ini bekerja sebagai guru sandaran di Selangor dan tidak mempunyai pilihan selain berhenti kerja.

"Saya berbuat demikian kerana tidak mahu mengabaikan keperluan ibu yang memerlukan bantuan melakukan urusan seharian," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, ibunya kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang keseluruhannya bernilai RM600 sebulan.

"Bantuan berkenaan tidak mencukupi kerana kos pembiayaan rawatan ibu menelan RM1,200 sebulan termasuk lampin pakai buang, susu dan kos ulang-alik bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital," kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Wan Mohd Fakhrul berkata, dia melakukan kerja sambilan dalam bidang penulisan seperti cerpen dan skrip kepada mana-mana syarikat yang memerlukan tetapi pendapatan yang diperoleh tidak menentu.

"Sambil jaga ibu, saya masih boleh bekerja. Saya mohon kepada mana-mana pihak untuk menawarkan saya pekerjaan dalam bidang berkenaan.

"Sedikit sebanyak hasil pendapatan berkenaan boleh saya gunakan untuk membiayai kos rawatan ibu nanti" katanya.

Dia berkata, dia juga memohon bantuan orang ramai dalam usaha membantu membiayai kos rawatan ibunya itu yang boleh disalurkan ke dalam akaun bank milik ibunya menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), 0308041000037250.

"Permohonan bantuan juga saya muat naik di Facebook (FB) menggunakan nama Wan Mohd Fakhrul Anwar namun mendapat kecaman pengguna laman sosial apabila mendakwa ia adalah perbuatan 'scammer'.

"Biarpun keadaan ibu begitu, saya harap akan ada hikmah pada masa akan datang terutama melihat ibu segera sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 9:47 PM