SATHIANATHAN (kiri) beri arahan kepada pemain pada sesi latihan semalam.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Peluang kami cerah dan saya yakin terhadap pasukan untuk meraih kemenangan esok,” tegas pengendali FELDA United B Sathianathan yang mengharapkan kebangkitan anak buahnya apabila berdepan wakil Filipina, Ceres Negros FC pada aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Shah Alam, hari ini.

Selepas tiga perlawanan, skuad The Fighters masih lagi buntu mencatat sebarang kemenangan selepas seri dua kali dan tewas sekali untuk menduduki tangga tercorot kumpulan dengan dua mata daripada empat pasukan.

Sathianathan berkata, mereka perlu menamatkan badi tanpa kemenangan itu jika mahu terus menghidupkan peluang bersaing dalam pertandingan itu.

“Ini peluang kami, kalau dapat menang, dapat tiga mata kami boleh ubah kedudukan mungkin ke tangga ketiga dan seterusnya dapat memberi keyakinan untuk pemain bagi perlawanan akan datang, bukan hanya Piala AFC tapi dalam Liga Super juga.

“Fokus kami adalah untuk mata penuh, bukan hanya jaga imej kelab tapi jaga imej negara kita. Bila kami nampak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) hampir pasti layak, kami juga nak ikut Johor DT,” katanya pada sidang media praperlawanan semalam.

Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, Ceres yang diperkuatkan dengan tujuh pemain kebangsaan Filipina adalah pasukan yang sukar ditewaskan apatah lagi dalam pertemuan pertama di Bacolod City bulan lalu berkesudahan seri 0-0.

Apa yang diharapkannya adalah bahagian serangan lebih tajam untuk merobek gawang pasukan pelawat.

“Dalam perlawanan dengan Hanoi FC juga 10 minit nak tamat kami ada satu peluang terbuka untuk jaring gol kedua, sama ketika beraksi di Bacolod City, ada beberapa peluang kami cipta sepatutnya ada penyudah, itu kelemahan kami.

“Dalam masa dua tiga minggu berehat kami cuba mengatasi kelemahan ini namun situasi dalam latihan dan perlawanan berbeza,” jelas Sathianathan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:51 AM