Kedai emas di Jalan Tun Abd Aziz, Kajang disamun empat lelaki bersenjatakan pistol petang semalam. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Pemilik kedai emas di Jalan Tun Abd Aziz, di sini, kerugian RM100,000 selepas barang kemas di kedai itu dilarikan empat lelaki bersenjatakan pistol dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.33 petang berhubung kejadian itu.

"Ketika kejadian, terdapat dua pekerja warga India bersama dua pelanggan berada dalam premis berkenaan.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat empat suspek memakai topi keledar penuh menyamun kedai emas berkenaan dengan bersenjatakan objek menyerupai pistol," katanya.

Othman berkata, pihak forensik menemui 10 kesan cap jari di lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek terbabit dalam kes samun itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 12:27 PM