ANGGOTA penguatkuasa AADK menjalankan ujian saringan air kencing di Pejabat AADK. FOTO ihsan AADK
ANGGOTA penguatkuasa AADK menjalankan ujian saringan air kencing di Pejabat AADK. FOTO ihsan AADK
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Manjung menahan tiga penangih dadah dalam Ops Aduan di dua lokasi berasingan di sekitar daerah ini, malam tadi.

Tiga individu terbabit ditahan pada 9 malam dan operasi itu dijalankan hasil aduan awam di pekan Seri Manjung dan Pulau Pangkor.

Pegawai AADK daerah Manjung, Sharuddin Abdul Salam berkata, dua lelaki berusia antara 20 hingga 30-an ditahan ketika sedang berkeliaran dalam keadaan mencurigakan.

"Kami mensyaki mereka terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah.

"Manakala seorang lagi penangih berusia 41 tahun ditahan ketika lelaki itu dalam perjalanan ke kedai makan di Pulau Pangkor dan didapati sudah melanggar syarat pengawasan kerana gagal melapor diri kepada balai dan AADK," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dua individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penangih Dadah (APD) 1983 manakala seorang ditahan mengikut Seksyen 6(2)(c).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 1:42 PM