Abdul Halim kini dilaporkan stabil. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok Abdul Halim Abdul Rahman, 56, dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian selepas diserang angin ahmar, 9 pagi semalam.

Isterinya, Noraini Md Ali Matar berkata, suaminya diserang angin ahmar ketika memandu kereta di kawasan Tunjong, di sini, sebelum dihantar ke hospital.

“Sebelum itu, suami menghantar anak ke Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan dalam perjalanan pulang sebelum diserang angin ahmar.

"Alhamdulillah, suami sempat menghentikan kereta di tepi jalan sebelum menghubungi anak kami yang berada di Pasir Mas yang terus membawa ayahnya ke HUSM.

"Doktor memaklumkan suami terkena serangan angin ahmar di bahagian badan sebelah kanan. Sebelum ini, suami menghidap diabetes dan darah tinggi," katanya di sini, hari ini.

DUN Chetok terletak di dalam kawasan Parlimen Pasir Mas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 4:48 PM