Daily Mail

London: Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo melancarkan but bola sepak khas sebagai penghargaan menikmati detik indah mengecap kejayaan di Manchester United.

Ronaldo menggunakan No 28 pada jersi kelab zaman remajanya di Sporting Lisbon tetapi Sir Alex Ferguson menyuruhnya memakai No 7.

Angka itu digunakan oleh David Beckham, Eric Cantona dan George Best.

Ronaldo menggunakannya ketika berhijrah ke Old Trafford pada 2003.

Pemain Portugal itu menyifatkan pengurus Scotland itu sebagai ‘bapanya’ dalam permainan dan memuji United kerana menjadi tempatnya menimba ilmu bermain bola sepak.

Namanya melonjak di Manchester malah membantu kelab itu meraih Piala FA, tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut turut dan trofi Liga Juara Juara (UCL).

Biarpun dianggap lebih besar dan menikmati kejayaan lebih baik di Bernabeu, pemain berusia 32 tahun itu muncul sebagai ‘penarik’ iklan kasut bola sepak dan masih tidak dapat melupakan tempat dia belajar bermain bola.

“Saya masih teringkat meninggalkan Lisbon untuk datang ke England. Alex Ferguson menyuruh saya pakai No 7," kata Ronaldo.

But baru itu diberi nama 'Chapter 4: Forged for Greatness', itu turut mengingatkan kenangan suka duka dan jerih payah sebelum tiba di Bernabeu.

Angka Roman XXVIII tertera di bahagian tumit dan VII menjadi kemuncak peralihan jersi No 28 Sporting kepada No 7 di United.

Pemain Portugal itu menyumbat 118 gol dalam 292 penampilan di United.

CR7 menjulang sembilan piala kejuaraan dan meraih gelaran Ballon d'Or sepanjang enam musim di kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:24 PM