Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Teman lelaki penuntut kolej berusia 20-an yang membuang bayi lelaki dalam mangkuk tandas kolej di Bukit Kayu Hitam, Khamis lalu, ditahan di Jitra, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk Mohd Nashir Ya yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki itu berusia 19 tahun berasal dari Pendang itu, ditahan di Jitra selepas menerima maklumat.

Menurutnya, dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan perintah tahanan reman akan dipohon esok.

Hasil bedah siasat mayat bayi lelaki yang ditemui dalam mangkuk tandas kolej di Bukit Kayu Hitam, Khamis lalu, mendapati bayi itu masih hidup ketika dilahirkan.

Mohd Nashir Ya bagaimanapun berkata, punca kematiannya masih dalam siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Gadis itu juga direman tujuh hari bermula hari ini selepas kita menukar kertas siasatan daripada Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Khamis lalu, polis menahan penuntut perempuan sebuah kolej berusia 20-an itu susulan penemuan mayat bayi lelaki baru lahir di dalam mangkuk tandas sebuah kolej di Bukit Kayu Hitam.

Pihak polis menerima laporan berhubung penemuan itu daripada orang awam pada 5.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 11:56 PM