Skip this ad x
KLOPP (kiri) harap keputusan positif berdepan Bournemouth esok. FOTO AFP
AFP

Liverpool, England: Liverpool berada di landasan layak ke Liga Juara-Juara namun masih ada alasan yang perlu dibimbangkan pengurus Juergen Klopp ketika beliau bersiap sedia menghadapi aksi Liga Perdana menentang Bournemouth di laman sendiri, awal pagi esok.

Pertamanya, beliau tidak boleh menurunkan penjaring terbanyak Sadio Mane, yang mengalami kecederaan lutut pada babak kedua ketika menang 3-1 ke atas musuh setempat Everton, Sabtu lalu. Liverpool menanti keputusan imbasan terhadap Mane dan berharap dia tidak berehat terlalu lama.

Pemain kebangsaan Senegal itu membuka tirai jaringan menentang Everton ketika anak buah Klopp meneruskan catatan tanpa kalah kepada empat perlawanan.

Liverpool sudah mengutip 10 mata dan melonjak dari tangga kelima ke tangga ketiga dalam tempoh itu.

Namun, kunjungan Bournemouth menjadi satu ingatan yang kurang enak buat Liverpool menjelang beberapa minggu akhir musim.

Pasukan Klopp mantap berdepan pasukan utama Liga Perdana; mengalahkan Arsenal dua kali selain menikmati kemenangan ke atas Chelsea, Tottenham dan Manchester City.

Semua lima kekalahan liga musim ini bagaimanapun hadir menentang lawan di bahagian bawah carta, termasuk kekalahan 3-4 di Bournemouth Disember lalu, perlawanan yang mana Liverpool mendahului 3-1 dengan berbaki 15 minit.

Tiada satupun aksi lapan terakhir Liverpool menentang pasukan yang kini berada dalam kelompok tujuh teratas.

“Ia masih satu persoalan buat kami untuk mencari jawapannya,” ujar Klopp.

“Kami bekerja keras untuk memperbaiki masalah ini dengan beberapa cara tapi jelas kami belum mendapat jawapannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 8:04 AM