BARISAN penggusti bergambar pada sidang media Reckoning MYPW 2017 di Dewan Lavender Pusat Komuniti Bukit Damansara.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kejohanan Gusti Profesional MYPW semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sekali gus memberi petanda positif perkembangan sukan itu di Malaysia.

Pengarah Kejohanan Ayez Shaukat Fonseka gembira dengan maklum balas diterima sejak pertandingan itu diperkenalkan pada Mac 2014.

Katanya, sejak diperkenalkan di Malaysia tiga tahun lalu sebanyak lapan pertunjukan diadakan dengan jumlah penonton yang hadir berganda setiap kali dianjurkan.

“Pertunjukan EVO 1 adalah yang kelapan sejak gusti diperkenalkan dan apa yang saya dapat lihat sokongan diberikan semakin besar.

“Nama MYPW juga ketika ini semakin dikenali,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran MYPW Ayez berkata, sasaran utama MYPW adalah memberi kesedaran kepada orang ramai gusti profesional ini adalah sukan yang boleh menjadi hiburan kepada semua.

Katanya, pemilihan ahli gusti akan dinilai dari segi sejauh mana kemampuan mereka menghiburkan peminat selain karisma seseorang itu.

Pertarungan Sabtu lalu membabitkan lapan pertarungan termasuk penyertaan dari Singapura.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadikan gusti sebagai kerjaya bolehlah melayari www.facebook.com/myprowrestling.

Hingga setakat ini Ayez yang juga ketua jurulatih gusti profesional berkata, seramai 30 pelajar bernaung di bawahnya menjalani latihan di Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 8:14 AM