Ahmad Zahid melawat tapak pameran MIHAS 2017. FOTO Aizuddin Saad
Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Keseragaman sijil perakuan standard halal tunggal di peringkat antarabangsa perlu diwujudkan bagi memastikan integriti halal dapat ditegakkan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada masa ini terdapat 200 badan pengiktirafan sijil halal di seluruh dunia yang mengguna pakai sijil dan logo masing-masing sekali gus menjadi satu lagi cabaran dalam menegakkan integriti halal.

"Industri halal global menghadapi cabaran berlarutan berikutan ketiadaan keseragaman sijil perakuan standard halal tunggal di peringkat antarabangsa.

"Namun, ia tentunya ada jalan penyelesaian dan kita perlu mewujudkan keseragaman pengiktirafan bersama antara pensijilan halal masing-masing," katanya berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2017 (MIHAS 2017) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, sebentar tadi.

MIHAS 2017 diadakan selama empat hari bermula hari ini dengan tumpuan kepada empat kluster utama iaitu makanan, bukan makanan (kosmetik dan farmaseutikal), perkhidmatan berasaskan syariah dan e-perdagangan.

Ia disertai 580 pempamer dari lebih 33 negara dan dijangka menarik kunjungan lebih 25,000 pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 7:42 PM