Anggota bomba menemui mayat seorang perempuan di Sungai Milian, Tongod. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


Kinabatangan: Mayat seorang perempuan dipercayai antara mangsa keenam banjir lumpur ditemui di Sungai Milian, Tongod, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang membawa mayat itu ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tongod.

“Identiti mangsa masih belum diperoleh setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mayat ditemui tersangkut pada akar pokok di tepi sungai berkenaan.

“Pasukan bomba dalam perjalanan menghantar mayat itu ke jeti Kampung Penangah untuk diserahkan kepada polis," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Sabtu lalu, seramai 11 sekeluarga hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur akibat tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Tiga daripada mangsa iaitu Jaliha Madayan, 50, dan suaminya Abdul Kamalayan, 50, bersama anak lelaki mereka Joshnam berusia 18 tahun ditemui selamat di Sungai Penangah, pagi Sabtu lalu.

Akibat kejadian itu, lapan termasuk tiga cucu mereka hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 9:03 PM