Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis menahan 16 lelaki warga asing yang dipercayai memiliki motosikal curi dalam Ops Rejang di sekitar ladang sawit di Jalan Besar Sungai Batu, Pantai Remis di sini, malam tadi.

Dalam serbuan 11 malam itu, polis turut merampas 16 motosikal Honda EX5 bernilai lebih RM30,000 yang digunakan warga asing terbabit.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, warga asing berkenaan ialah 14 dari Bangladesh dan dua warga India berusia antara 22 hingga 50 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati lapan daripada warga asing yang ditahan itu gagal memberikan pengesahan dokumen berkaitan kenderaan itu dan kita percaya mereka menggunakan motosikal curi.

"Lapan motosikal lagi dikenal pasti mempunyai rekod kecurian yang dilaporkan di sekitar Pantai Remis, Segari, Ayer Tawar dan Sitiawan," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Tengku Mohd Zailan berkata, seorang daripada yang ditahan didapati memiliki tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kecurian dan pecah rumah.

Katanya, lapan individu ditahan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil (AKK) manakala lapan lain mengikut Seksyen 379 A kerana memiliki barang curi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 12:01 AM
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan menunjukkan motosikal dipercayai dicuri yang digunakan pendatang asing di sebuah ladang kepala sawit di Pantai Remis. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI