SUNTING gambar peminat wanita  sebelum dimuat naik ke laman sosial.
SUNTING gambar peminat wanita sebelum dimuat naik ke laman sosial.
Michelle Gun


Penyanyi popular menerusi single Segalanya, Haqiem Rusli mengakui pendiriannya untuk menjaga batas dengan peminat wanita ketika di luar termasuk menjaga aib mereka dalam media sosial.

Pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli ini menjelaskan, dia bukan sombong cuma mahu mengelak bersentuhan dan bersalaman dengan peminat wanita.

“Alhamdulillah peminat faham. Namun, sukar mengelak daripada tersentuh dengan peminat wanita apabila mereka teruja dan mula menghimpit untuk berjumpa dengan saya,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 19 tahun ini, dia turut menyunting bahagian lengan peminat wanita yang terdedah dalam gambar bersamanya sebelum dimuat naik ke laman sosial Instagram.

“Ribuan pengguna media sosial akan melihat gambar itu dan saya tidak mahu menanggung dosa peminat dengan menunjukkan aurat mereka kepada umum.

“Jadi, sebelum memuat naik gambar bersama peminat mahupun rakan wanita, saya akan menyunting dulu bahagian tertentu,” katanya.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik ini, walaupun sentiasa melayan pelbagai kerenah peminat, dia selesa menjadi popular kerana minatnya dalam bidang nyanyian.

“Pernah ada peminat sanggup menunggu saya di luar tandas semata-mata mahu mengambil gambar kenangan. Namun, saya tidak pernah penat melayan peminat mahupun terasa terganggu apabila didatangi mereka.

“Lagipun, menjadi penyanyi adalah pilihan sendiri, pada masa sama mahu membantu keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Haqiem terbabit dengan Jelajah Safi Balqis Bersama Sony Music bersama artis terkenal Aliff Aziz, Altimet, Ifa Raziah, Ary Hadre, Farisha Irish, Shamim dan Wani di lima lokasi terpilih.

Lima lokasi berkenaan adalah Mydin Pulau Sebang, Melaka (16 April), Universiti Utara Malaysia, Kedah (19 April), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (23 April), Universiti Putra Malaysia, Serdang (29 April) dan Mydin Senawang, Seremban (7 Mei).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 4:47 AM