Serdang: Pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak lagi bebas berkeliaran apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan Unit Penguatkuasa Bergerak bagi menangani kehadiran golongan terbabit di negara ini.

Unit itu digerakkan dalam usaha pencegahan dan mengurangkan keberadaan PATI di lokasi panas dikenal pasti.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Mustafar Ali berkata, pelancaran unit itu bertujuan mewujudkan kerjasama dua hala antara agensi penguatkuasaan berkenaan dengan komuniti setempat.

“Sebanyak RM140,000 diperuntukkan bagi sebuah van penguat kuasa membabitkan keseluruhan kos pembelian dan ubah suai kenderaan berkenaan mengikut keperluan penguatkuasaan dan sistem semakan maklumat warga asing.

“Ketika ini, kami hanya ada dua van penguat kuasa bergerak yang beroperasi di sekitar lokasi panas secara berkala namun bilangannya ditambah dan dibekalkan ke semua negeri secara berperingkat,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 JIM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyampaikan sijil penghargaan kepada 842 pegawai dan anggota JIM pada majlis berkenaan.

“Inisiatif itu dilaksanakan bagi mewujudkan rasa selamat dalam kalangan komuniti setempat dan memudahkan mereka menyampaikan maklumat terus kepada JIM melalui rondaan dilakukan.

“Selain itu, beberapa strategi pelaksanaan penguatkuasaan bagi menangani jenayah rentas sempadan serta kawalan terhadap PATI dan pintu masuk utama sempadan negara diperkukuhkan,” katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, pihaknya menaik taraf Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) kepada Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bagi mutu penyampaian perkhidmatan lebih berkualiti.

Katanya, langkah itu diambil bagi menaik taraf sistem sedia ada supaya lebih holistik dari aspek kemudahan dan perkhidmatan.

“Ketika ini, kementerian menilai sistem baru iaitu SKIN bagi menaik taraf myIMMs secara menyeluruh dari segi kemudahan dan perkhidmatan.

“Ini selaras dengan rekod kedatangan lebih 24 juta pelancong pada tahun lalu dan jumlah itu dijangka terus meningkat tahun ini selain kemasukan PATI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:33 AM