BARISAN penerima anugerah KPM-MSSM-MILO 2016, semalam.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Prestasi cemerlang sepanjang 2016 membolehkan 15 atlet dan penggiat sukan tanah air menerima Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-MSSM-MILO 2016.

Kejayaan memecahkan rekod 100 meter berusia 18 tahun mengangkat Khairul Hafiz Jantan dinobatkan penerima Anugerah Putera manakala Aifa Azman yang mengungguli Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British dianugerahkan Anugerah Puteri.

Khairul bagaimanapun tidak dapat hadir menerima anugerah itu kerana sedang menjalani latihan bersama skuad pecut negara di Afrika Selatan untuk menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Bagaimanapun melalui rakaman video dari Afrika Selatan, Khairul menyifatkan anugerah itu melonjakkan semangatnya memburu lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Terima kasih kepada semua, keluarga, guru Suhaimi Sun dan jurulatih Mohd Poad Md Kassim yang membimbing saya hingga berjaya seperti sekarang ini,” katanya.

Bagi Aifa dia sangat bersyukur kerana tidak menyangka dinobatkan penerima anugerah Puteri.

“Anugerah ini menjadikan saya semakin bersemangat untuk bertanding dan memburu lebih banyak kejayaan.

“Sesungguhnya saya sangat gembira dinobatkan penerima anugerah kerana tidak pernah bayangkan untuk memenanginya,” katanya yang akan beraksi di Kejohanan Skuasy Asia Senior pada hujung bulan ini.

Tahun lalu, dua anugerah utama itu menjadi milik atlet pelayaran Muhammad Fauzi Kaman Shah hasil kejayaan menyumbangkan emas di temasya Sukan SEA Singapura dalam acara optimis manakala Anugerah Puteri milik juara badminton remaja dunia, Goh Jin Wei.

Sementara itu Anugerah Mutiara Inspirasi Sukan yang baru diperkenalkan tahun ini menjadi milik Abdul Latif Romly (olahraga), Welson Sim (renang) dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).

Juara keseluruhan MSSM 2016 milik Majlis Sukan Sekolah Negeri Selangor yang memenanginya buat kali ke-12 berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:08 AM