Sarah Zulkifli


Kuala Kubu Bharu: Pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara laju sehingga mengorbankan enam sekeluarga berdekatan susur keluar Tanjung Malim, Ahad lalu.

Tertuduh, Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulhelmy Hasan yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang memandu treler nombor pendaftaran KDY 1314 didakwa memandu secara laju di Kilometer 403.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara sehingga menyebabkan kematian Lam Wai Loon, 46; isterinya, Wong Cheq Lee, 53; dua anak mereka, Lam Jie Yang, 19; dan Lam Jie Hong, 13; serta adik Wan Loon, Lam Wei Keat, 35; dan bapanya, Lam Leong Choy, 76.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM10,000, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen dirampas dan menetapkan 4 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporlan, perjalanan enam sekeluarga menziarahi perkuburan saudara di Perak tidak kesampaian apabila semuanya terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka, dihempap treler yang terbabas dan terbalik berdekatan susur keluar Tanjung Malim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 10:47 AM