Mohd Nasir ketika dijaga Saripah sebelum ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Suami pesakit kanser, Mohd Nasir Mat Jusoh, 45, yang terlantar akibat mati otak meninggal dunia di kediaman keluarga di Bandar Permas Jaya di sini, pagi tadi.

Saripah Palichok, 32, berkata suaminya menghembus nafas terakhir pada 10 pagi.

Menurutnya, suaminya dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 5 Mac lalu dan dibawa pulang ke rumah pada 2 April lalu.

"Tidak sangka selepas lima hari dibawa pulang ke rumah suami meninggalkan kami sekeluarga.

"Jenazah arwah suami dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bakar Batu, Johor Bahru selepas waktu Zuhur.

"Saya berharap roh suami dicucuri rahmat dan berdoa agar Allah SWT memberi saya kekuatan untuk menyara tiga anak perempuan berusia antara 5 hingga 14 tahun," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan nasib malang Saripah umpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Saripah yang juga tukang jahit disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat lima bulan lalu.

Suaminya yang juga pemandu jentera berat menjadi koma selepas mengalami serangan lelah dan mati otak pada 5 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 6:43 PM