Laporan Harian Metro sebelum ini.
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Penunggang motosikal yang melanggar wanita yang melintas jalan sehingga mati di Jalan Burma, semalam ditahan polis di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan sewaktu menerima rawatan selepas mengalami kecederaan di bahagian dagu dan tulang pipi retak.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di wad HPP untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut selain siasatan masih lagi dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian sebenar.

"Kes disiasat menurut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari semalam, mangsa, Foo Swee Wah, 58, dilanggar ketika melintas seorang diri di laluan melintas pejalan kaki yang disediakan.

Ketika mangsa hampir sampai ke seberang jalan, tiba-tiba motosikal suspek merempuh mangsa menyebabkan mangsa terpelanting di atas jalan sebelum suspek terus melarikan diri.

Foo disahkan meninggal dunia ketika dirawat di zon merah wad kecemasan HPP jam 8.45 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 1:15 PM