PATI yang ditahan PPM Wilayah Dua Johor, malam tadi. Ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong bot ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor, malam tadi.

Semua PATI yang berusia 23 hingga 50 tahun itu ditahan di persisiran pantai Batu Layar, Punggai dekat Sungai Rengit di sini, dengan bantuan Rejimen Ke-16 Artileri Diraja kira-kira jam 8 malam tadi.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, PATI yang terdiri daripada enam lelaki dewasa dan dua wanita serta seorang tekong lelaki itu ditahan selepas dikesan PPM Pengerang di lokasi terbabit.

"Ketika menjalankan tugas Op Landai, PPM Pengerang berjaya menahan sekumpulan sembilan warga asing termasuk tekong bot dengan dibantuRejimen Ke-16 Artileri Diraja.

"Operasi yang dijalankan ini adalah hasil maklumat risikan terhadap aktiviti penyeludupan manusia yang menggunakan jalan laut.

"Hasil siasatan awal, semua PATI ini mengaku secara lisan ingin pulang ke Indonesia dengan menggunakan bot pancung melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya.

Beliau berkata, semua PATI itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan cuba keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.

Menurut Paul, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 2:44 PM