PENAUNG Pertubuhan Dunia Melayu Polynesia Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz (dua dari kiri) bersama Sidek (kiri) sewaktu pelancaran pameran MANAH: Alam Pusaka Kehidupan di Galeri PETRONAS.
WAJAH tua seorang masyarakat peribumi yang masih tersenyum meskipun dihimpit kemodenan.
HASIL karya tangan berjudul ‘Tigar in Chains’.
HASIL tangan Shaq Koyok menerusi Pertemuan.
ARTIS muda yang terbabit (dari kiri) Shaq Koyok, Kaleb, Alena dan Kendy.
Siti Salmiah A Hamid


Era digital diyakini membuka banyak peluang kepada masyarakat untuk maju dalam pelbagai bidang. Ia seiring keperluan masyarakat hari ini untuk lebih bertamadun dan mencapai kejayaan.

Namun, pembangunan adakalanya melenyapkan sejarah sedia ada. Malah, jati diri masyarakat juga mula hilang sedikit demi sedikit kerana lebih memuliakan kemodenan berbanding budaya turun-temurun.

Empat artis tempatan berkolaborasi atas dasar menyatakan tanggungjawab menjaga hak milik yang sudah diwarisi nenek moyang mereka selaku anak jati peribumi Malaysia.

Alena Ose’ Murang daripada suku kaum Kelabit, Kaleb Anyie Udau (Kenyah), Kendy Mitot (Bidayuh) dan Shahar Koyoq atau Shaq Koyoq (Temuan) memiliki pandangan seni tersendiri.

Menerusi pameran MANAH: Alam Pusaka Kehidupan jelas menampilkan nilai estetika unik peribumi negara ini meskipun menerima pengaruh kemodenan.

Malah perkataan ‘manah’ itu sendiri dalam bahasa Temiar bermaksud ‘kuno’ atau ‘cara lama’ sekali gus mencerminkan identiti dan asal usul masyarakat yang berkait rapat dengan ekologi kediaman mereka.

Pengerusi PETRONAS Tan Sri Sidek Hassan berkata, pameran berkenaan mewakili nilai asli estetika dalam versi yang lebih segar, selain mencabar tanggapan orang ramai mengenai budaya asal sebagai sesuatu yang misteri, terkebelakang atau sudah luput.

“Terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari daripada nilai dan amalan kaum peribumi ia berkenaan isu globalisasi seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan kehidupan lestari.

“Cara kehidupan minimalis mereka dengan sendirinya menjadi pengajaran mengenai kemampanan, sesuatu yang hanya diberikan keutamaan termasuk dalam dunia korporat,” katanya.

Teras kepada budaya masyarakat peribumi adalah simbol tradisional yang juga berdasarkan kepada peristiwa penting. Tanpa catatan tulisan, kisah dan cerita diturunkan secara lisan melalui lagu, tarian dan upacara ritual. Ia adalah cara mereka menyampaikan maklumat pada masa yang sama memelihara dan mewariskan budaya.

Pameran ini sama sekali tidak hanya memaparkan seni lukis semata-mata tetapi muncul dalam pelbagai bentuk yang perlu disaksikan penonton dengan lebih jelas bagi mendalami latar belakang pelbagai budaya peribumi.

INFO

MANAH: Alam Pusaka Kehidupan

• Artis: Alena Ose’ Murang, Kaleb Anyie Udau, Kendy Mitot dan Shaq Koyoq

• Jumlah karya: lebih 50

• Lokasi: Galeri PETRONAS, Level 3, Suria KLCC, Kuala Lumpur

• Tarikh: Sehingga 16 April 2017

• Masa: 10 pagi hingga 8 malam

• Telefon: 03-20517770

• Web: www.galeripetronas.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 2:46 PM