BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pelancong Pakistan didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita minggu lalu.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap ahli perniagaan, Muhammad Hash Ghous, 46, kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan cara memegang erat bahu wanita berusia 28 tahun itu dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di depan lif Menara Kuala Lumpur pada 9.45 malam, 27 Mac lalu.

Bapa sembilan anak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau antara dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam P Sutheswary memohon hukuman ringan dengan alasan ketika kejadian anak guamnya mahu mengambil gambar bersama mangsa secara berkumpulan dan tidak sengaja melakukan perbuatan itu.

Katanya, selepas kejadian tertuduh terus memohon maaf kepada wanita itu.

Timbalan Pendakwa Raya K Vasugi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 7:38 PM