WAN Hasihm dan Shahuri memulakan kayuhan sejauh 3,000 kilometer berlepas dari Hotel Grand Riverview, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
WAN Hasihm dan Shahuri memulakan kayuhan sejauh 3,000 kilometer berlepas dari Hotel Grand Riverview, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Pengayuh basikal warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 71, memulakan misi kayuhan kembara berbasikal selama 43 hari membabitkan sejauh 3,000 kilometer (km).

Bapa kepada enam anak dan 18 cucu dari Jalan Telipot, di sini, yakin dapat menyelesaikan misi kayuhan bagi mencipta nama untuk kali ketiga dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Wan Hashim atau dikenali sebagai Pak Wan ditemani jurugambar sambilan Bernama Kelantan, Shahuri Awang, 31, dalam misi kayuhan yang mendapat tajaan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) dan syarikat kosmetik, Sweetiey.

Pak Wan berkata, misi kayuhan bermula di Kota Bharu membabitkan laluan Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand sebelum kembali ke tanah air pada 19 Mei depan.

Katanya, mereka akan bergerak ke Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum menaiki feri ke Takbai, Thailand dan meneruskan kayuhan serta bermalam di Narathiwat untuk hari pertama.

"Kami akan singgah di beberapa tempat di Selatan Thailand iaitu Pattani, Hatyai, Songkla dan seterusnya ke Padang Besar, Perlis bagi misi kayuhan selanjutnya mengikut destinasi ditentukan sepanjang 43 hari sebelum menamatkannya di Kota Bharu.

"Misi kali ini berbeza kerana dilakukan secara berdua dengan Shahuri dan kami akan rakamkan gambar untuk koleksi penghasilan buku kembara untuk dijadikan panduan kepada pengayuh basikal lain," katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan Program Kembara 3,000 KM Pak Wan, KEMUDI di Hotel Grand Riverview, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Pengurus Besar GRV, Vincent Chua bersama Presiden KEMUDI, Mohd Zailani Abdul Rahman dan Pengasas Kosmetik Sweetiey, Nur Baiti Yusof.

Harian Metro sebelum ini, melaporkan Wan Hashim mencipta nama dalam Malaysia Book Of Record selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014 sebelum sekali lagi mencipta nama pada Januari 2015 apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan jelajah negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 12:28 PM