FOTO Mohd Helmy
FOTO Mohd Helmy
Michelle Gun


PELAKON dan penyanyi tampan Korea Selatan, Ji Chang Wook meluahkan hasrat mahu melancong sebelum memulakan latihan tentera.

Namun, Chang Wook memberitahu sebelum itu dia perlu menyiapkan penggambaran drama bersiri lakonan terbarunya sebaik kembali ke tanah airnya.

"Sejak kebelakangan ini, ramai bertanya saya soalan berkaitan latihan tentera.

"Saya sudah mempunyai jadual untuk menyiapkan projek seni sebelum memulakan perkhidmatan," katanya pada sidang media filem Fabricated City, hari ini.

Ketika ditanyakan perkara yang bakal dirinduinya apabila berjauhan nanti, bintang drama bersiri K2 itu menjawab ringkas iaitu keluarga serta rakan-rakannya.

"Sekiranya ada waktu lapang selepas tamat penggambaran, saya mahu melancong," katanya.

Chang Wook berada di Kuala Lumpur untuk mempromosikan filem aksi lakonannya, Fabricated City yang bakal menemui penonton di seluruh negara pada 20 April ini.

Kali pertama melawat Malaysia, Chang Wook mengakui terkejut terhadap sambutan luar biasa diterimanya dan merancang kembali ke negara ini pada masa depan.

"Saya ingin mengetahui mengenai Malaysia dengan lebih lanjut kerana tidak pernah ke Kuala Lumpur.

“Lagipun, saya tidak sempat ke mana-mana kerana berada dalam bilik hotel sejak tiba dari lapangan terbang," katanya.

Chang Wook turut mengambil gambar kenangan bersama peminatnya pada sidang media berkenaan diikuti sesi ramah mesra pawagam GSC Pavilion Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 8:43 PM