Oleh Afiq Hanif


BenQ yang popular dengan produk projektor sebelum ini mencuba nasib memperkenalkan telefon pintar kelas pertengahan melalui model F5 yang berharga RM699.

Ia menjadi telefon pintar dengan skrin 5.0 inci, boleh dikategorikan telefon nipis memandangkan ketebalan-nya hanya 8.5mm saja.

Seperti kebanyakan telefon lain, ia memaparkan logo BenQ di atas skrinnya bersama kamera depan 2MP terletak di sebelah kanan logo BenQ itu.

Pembesar suara panggilan pula terletak di atas logo. BenQ menggunakan butang kapasitif yang berasingan dari skrin jadi tiga butang 'back, home dan recent apps' terletak di bawah skrin yang berlampu ketika pesekitaran gelap.

Kuasa pemprosesan BenQ F5 diperoleh dari penggunaan CPU Qualcomm Snapdragon, quad core 1.2GHz yang kerap digunakan dalam telefon kelas rendah.

Mungkin ia kelihatan kurang berkuasa, tetapi mampu mengoperasikan semua aplikasi yang digunakan dengan lancar. Salah satu sebab dibantu RAM sebesar 2GB yang sentiasa memberi ruang untuk aplikasi berjalan lancar.

Memori dalaman BenQ F5 sebesar 16GB, satu standard untuk telefon kelas pertengahan boleh ditambah menggunakan kad memori mikroSD sehingga 128GB.

Kapasiti bateri yang tidak boleh dicabut pula bersaiz 2520mAh iaitu melebihi kapasiti bagi kelasnya.

Keluar saja pertama kali dari kotak, BenQ F5 dilengkapi sistem operasi Android 4.4.2 KitKat, tetapi BenQ menggunakan UI rekaan-nya sendiri yang dipanggil Q Home.

UI Q Home tidak menggunakan Apps Drawer jadi semua aplikasi boleh didapati terus dari skrin home.

Pilihan untuk tidak menggunakan apps drawer ini seakan menjadi pilihan utama pengeluar telefon dari China, tetapi sedikit perbezaan yang dibawa Q Home termasuk aplikasi baru boleh dilihat dari ruang New Comer yang sentiasa terpapar di bawah skrin bersama ikon Phone, People dan Camera.

Satu fungsi tambahan yang menarik terdapat pada BenQ F5 ialah keupayaan menyentuh skrin dua kali bagi menghidupkan skrin yang sebelum ini dilihat pada Sony Xperia Z3.

Kamera belakangnya dilengkapi sensor BSI dengan resolusi 13MP, apertur F2.2 dan LED Flash yang boleh merakam video HD penuh 1080p.

Fungsi yang menyerlahkan kamera BenQ F5 berbanding yang lain ialah fungsi ultra sensitiviti memungkinkan gambar dirakam kelihatan cerah walaupun pada persekitaran dengan cahaya malap.

Percubaan pertama telefon pintar BenQ ini boleh dikatakan mengagumkan walaupun CPUnya kelihatan kurang dari jangkaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:01 AM