SKUAD takraw raih emas ketika Sukan SEA Singapura 2015.
SKUAD takraw raih emas ketika Sukan SEA Singapura 2015.

“Kami sedar selain bola sepak, sepak takraw akan menjadi antara sukan tumpuan rakyat Malaysia pada Sukan SEA, Ogos nanti.

Sudah pasti sebagai kapten dan pemain senior negara, saya mahu memastikan dominasi dan emas maksimum apabila beraksi di tanah air sendiri.

Namun, pada masa sama kami perlu bersikap realistik. Permainan takraw ketika ini bukan lagi menjadi dominasi Malaysia dan Thailand seperti sedikit masa lalu.

Ia sudah banyak berubah dengan negara Asia Tenggara lain sudah mempamerkan peningkatan ketara. Cabaran Vietnam, Myanmar dan Indonesia tidak lagi boleh dipandang sebelah mata.

Setiap negara mempunyai kekuatan dan kelemahan tertentu, jadi jika kami mampu memanfaatkannya tidak mustahil untuk mencapai kejayaan.

Apabila turun sebagai tuan rumah, tekanan mental dan fizikal amat tinggi, namun kami sudah diterapkan dengan sikap tidak mudah mengalah sejak awal lagi.

Persiapan kami nampaknya berjalan lancar sehingga kini. Kami mempamer persembahan yang baik dalam beberapa kejohanan termasuk muncul juara antara regu Piala Raja Thailand, Oktober tahun lalu.

Malah, kontroversi membabitkan isu doping dan pemulauan final Piala Raja Thailand sudah selesai dengan pemain sudah mampu memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan.

Saya berpandangan kami akan mencapai kejayaan yang manis pada Sukan SEA nanti dengan syarat mengikut perancangan ditetapkan jurulatih selain berada di kemuncak prestasi.

Terima kasih kepada perancangan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) serta pihak lain seperti MSN dan ISN yang sentiasa memberi program pendedahan.

Kami tidak boleh mudah berputus asa dan secara jujurnya memerlukan motivasi penyokong tempatan untuk mempamerkan persembahan luar biasa.

Justeru, saya serta rakan yang lain mengharapkan sokongan padu peminat tempatan sebagai pemangkin semangat sehingga mata terakhir kerana dalam sukan ini apa saja boleh berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:29 AM
Digital NSTP Subscribe