ERNIE bukan tiru sebaliknya hormat idola berjiwa penghibur.
Ardini Sophia Sina

Gelaran juara Bintang RTM 2009 yang diraih Ernie Zakri ketika berusia 17 tahun berjaya membuka laluan kepadanya untuk bertapak dalam industri seni suara.

Namun, mencacah nama di hati umum bukan perkara mudah. Dia hanya mula diterima selepas muncul dengan lagu Jangan Marah dan berganding dengan Syamel dalam pertandingan Duo Star tahun lalu.

Bagaimanapun, Ernie tidak pernah menjadikan fasa itu sebagai peluntur semangat. Dia percaya semua penyanyi senior pun pasti pernah melalui situasi sepertinya.

Dalam usaha mengukuhkan kerjaya, Ernie banyak melihat kesungguhan Dayang Nurfaizah memperjuangkan lagu-lagunya.

Tidak hairan apabila ditanya artis idolanya, Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri mengakui kagum dengan penyanyi yang popular dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta.

“Saya akan terpegun setiap kali melihat persembahan Dayang di pentas. Saya kagum dengan kesungguhannya sebagai penyanyi.

“Tidak dinafikan dia penyanyi hebat dan saya menjadikan dia sebagai idola kerana jiwanya sebagai penghibur. Setiap kali dia menyanyi, saya dapat rasa keikhlasannya dalam menyampaikan sesebuah lagu,” katanya.

Walaupun meminati Dayang, Ernie menafikan dia mahu meniru cara Dayang menyanyi untuk lebih dikenali.

Katanya, dia mengagumi kesungguhan, jiwa dan keikhlasan Dayang dalam berkarya dan itu yang mahu dicontohi.

“Dayang tidak perlu melakukan pergerakan besar untuk menarik perhatian penonton. Cukup hanya dengan vokal dan suntikan emosi dalam nyanyian.

“Tidak semua penyanyi dapat melakukan perkara itu. Saya juga lihat semua perkara positif ada pada Dayang. Lihat saja persembahannya pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini. Dia tidak menari dan berada di tempat sama tetapi hanya bermain dengan gerakan tangan. Itu pun hanya sesekali.

“Suaranya cukup hebat dan bertenaga untuk terus menarik penonton melihat ke arahnya. Dia sedang menyanyi tetapi penghayatan, emosi dan rasa itu sampai tepat di hati,” katanya.

Ernie juga kagum dengan kebijaksanaan Dayang menyampaikan kisah yang tertulis pada lirik lagu dengan lirikan mata dan emosi pada wajah.

“Dayang ada aura tersendiri yang membuatkan orang akan terus ingat padanya,” katanya.

Anak saudara kepada penyanyi Anuar dan Ziana Zain ini juga menjadikan kedua-dua figura seni itu sebagai panduan dalam meniti karier sebagai penyanyi.

Katanya, Anuar dan Ziana memberi banyak nasihat serta tip bermanfaat untuk diaplikasikan dalam mengukuhkan kerjaya seninya.

“Lagu-lagu mereka ada kelas tersendiri hingga masih menjadi siulan umum sampai hari ini. Walaupun jarang muncul dengan lagu baru, mereka masih lagi diingati dan dihormati. Mereka tetap relevan dalam industri.

“Saya memasang impian agar suatu hati nanti mampu berdiri sama tinggi seperti mereka,” katanya.

Mempunyai pertalian sangat rapat dengan Anuar dan Ziana mungkin antara kelebihan Ernie untuk berduet dengan bapa dan ibu saudaranya.

Bagaimanapun, melihatkan kesibukan mereka dan dirinya yang masih mencari lebih banyak peluang, niat itu dipendamkan buat sementara waktu.

“Saya ada juga bercakap dengan mereka ketika berbual kosong tapi mungkin bukan sekarang. Mereka pun sibuk dengan komitmen.

“Saya sendiri masih dalam usaha mengukuhkan kerjaya. Insya-Allah, suatu hari kalau ada rezeki, impian itu akan tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 5:07 AM