X

Kuala Lumpur: Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) akan berkongsi faedah daripada pelaksanaan konsep ‘Bandar Pintar’ pada persidangan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) yang bermula 17 hingga 19 September ini.

MIGHT dalam kenyataan hari ini berkata Bandar Pintar, satu daripada tiga program berimpak tinggi utama yang dikenal pasti oleh Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC), dijangka meningkatkan taraf keluarga Malaysia daripada kemiskinan luar bandar kepada rumah mampu milik dan pekerjaan yang lebih baik, dan pada masa sama menggalakkan kelestarian alam sekitar.

ICW, acara tahunan utama bagi industri pembinaan di Malaysia dan Asia Tenggara, akan dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan diadakan dengan Ecobuild Southeast Asia edisi kedua di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Pengarah Urusan Kumpulan Mensilin, Mohd Adan Yusof dan Anggota Jawatankuasa (Inisiatif Strategik) Pertubuhan Syarikat-Syarikat Kecekapan Tenaga Malaysia (MAESCO) Zaini Abdul Wahab akan membentangkan kertas kerja mereka pada 17 dan 19 Sept. Kedua-dua entiti itu merupakan rakan kongsi Might. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 September 2014 @ 5:56 PM