PUTERA raja ini membela beberapa anak harimau.
PUTERA raja ini membela beberapa anak harimau.

Seorang putera raja dari Brunei kini dianggap sebagai putera raja idaman wanita selepas menjadi popular dalam laman perkongsian gambar, Instagram.

Putera Abdul Mateen, 25, seorang yang aktif bersukan dan sering memuat naik gambarnya bermain bola sepak, polo, seni mempertahankan diri dan pernah mewakili negara itu dalam pertandingan badminton.

Abdul Mateen berkelulusan Politik Antarabangsa dari King’s College London, Britain dan pada tahun lalu menamatkan ijazah sarjana dalam bidang Diplomatik Antarabangsa di Sekolah Kajian Afrika dan Timur, juga di London.

Ketika berusia 18 tahun, putera itu berjaya menamatkan latihan selama 44 minggu di kolej tentera terkenal, Sandhurst. Pada September tahun lalu, dia dinaikkan pangkat ke kapten muda dalam angkatan bersenjata Brunei.

“Ia perkara paling besar yang saya lakukan kerana ia benar-benar menjadikan saya seorang individu yang kuat secara fizikal dan mental,” katanya kepada majalah GQ Thailand mengenai latihannya di Sandhurst.

Selaku putera raja, Abdul Mateen perlu melaksanakan tugas diraja seperti terbabit dalam aktiviti kebajikan dan mewakili bapanya pada peringkat antarabangsa.

Bapanya adalah Sultan Brunei, Hassanal Bolkiah yang juga antara lelaki terkaya di dunia dengan harta dianggarkan bernilai AS$20 bilion (RM88.73 bilion). Ibunya adalah isteri kedua Hassanal yang diceraikan pada 2003. Abdul Mateen adalah anak ke-10 daripada 12 anak pemerintah negara yang kaya dengan minyak itu.

Pada 2015, Abdul Mateen mewakili bapanya ke Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel di Malta dan bercakap mengenai keganasan serta menggesa negara lain menangani punca isu itu.

Walaupun lahir dalam keluarga yang kaya raya, Abdul Mateen memberitahu dia seorang yang merendah diri dan menggambarkan dirinya seorang yang manis, sederhana dan lucu.

“Saya dibesarkan dan didik oleh ibu bapa saya supaya sentiasa merendah diri,” ujarnya.

Putera itu mempunyai gaya hidup yang mewah tetapi dia sering dilihat bermesra dengan beberapa anak harimau di laman Instagram miliknya yang mempunyai 440,000 pengikut.

Abdul Mateen menganggap dirinya sebagai ‘bapa harimau’ dan sering berkongsi gambarnya memeluk anak harimau termasuk harimau bintang di pantai dan di atas katil.

Berita baik untuk peminat wanita kerana putera kacak itu dipercayai masih belum mempunyai teman dan dia juga berkongsikan ciri-ciri pilihan bakal isterinya.

“Saya sukakan wanita yang telus dan tidak berpura-pura. Seorang yang sangat sederhana, adalah yang paling saya suka,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:41 AM