KEADAAN motosikal terbabit kemalangan. FOTO ihsan Pembaca
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Dua remaja parah selepas motosikal ditunggang merempuh antara satu sama lain di Jalan Jelapang-Chemor berhampiran persimpangan lampu isyarat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam, Muhamad Syakir Danial Maamal Hajri, 17 yang menunggang Yamaha Y15ZR cedera di mulut termasuk patah di rahang manakala Mohamad Zawawi Abu Bakar, 16, yang menunggang Honda C100 patah kaki kanan.

Difahamkan, motosikal dinaiki Muhamad Syakir Danial dalam perjalanan dari Chemor menghala ke Ipoh manakala Mohamad Zawawi dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Taman Mas di sini.

Menurut sumber, siasatan mendapati motosikal ditunggang Mohamad Zawawi melintas keluar ke jalan utama.

Katanya, motosikal ditunggang Muhamad Syakir Danial yang melalui jalan utama bagaimanapun tidak sempat mengelak motosikal Yamaha yang keluar secara tiba-tiba merempuh motosikal berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua penunggang itu belum membuat laporan berikutan mangsa yang menunggang motosikal Yahama menerima rawatan di hospital swasta di sini manakala seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal Honda mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:48 PM