Menikmati sayur-sayuran hijau ternyata banyak manfaatnya meskipun ia sering menjadi bahan masakan yang kurang digemari kanak-kanak, malah sesetengah golongan dewasa.

Namun sayur-sayuran mampu membekalkan tubuh dengan khasiat diperlukan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan tanpa perlu berbelanja lebih untuk menampung kekurangan zat tubuh menerusi pengambilan makanan tambahan.

Antara sayur-sayuran tinggi khasiat yang harus dijadikan hidangan seharian:

BAYAM

Dilimpahi pelbagai khasiat termasuk vitamin A, C dan K, mangan, folat, magnesium, serat, kalsium dan protein malah sayuran ini rendah kalori.

Menerusi kandungan khasiatnya itu, sayuran ini bukan saja baik untuk kesihatan jantung malah ia membantu untuk meningkatkan daya ingatan. Selain vitamin A, ia juga mempunyai lutein iaitu salah satu jenis karotenoid yang baik untuk memberikan khasiat kepada mata dan penglihatan.

Kandungan seratnya juga membantu organ pencernaan manakala kalsium dan magnesium membantu untuk menguatkan tulang dan sendi.

PEGAGA

Tumbuhan berdaun kecil yang tumbuh melata dengan nama botaninya Centella asiatica ini mempunyai pelbagai khasiat termasuk protein, serat, zat besi serta vitamin A dan C.

Sering dijadikan ulam, ada yang menjadikannya tonik untuk menyihatkan badan dan mengurangkan panas badan. Di India, pegaga dalam perubatan tradisional dikatakan dapat menguatkan daya ingatan dan menangani penyakit nyanyuk.

Manakala dalam perubatan tradisional Cina, ia antara lain digunakan untuk menangani selesema, sakit kuning, penawar untuk keracunan cendawan dan gigitan ular.

Amalan masyarakat Melayu zaman dulu pula menggunakan akar dan daun pegaga yang direbus, kemudian air rebusan itu digunakan untuk mencuci bahagian kemaluan bagi mengurangkan masalah kegatalan dan memelihara kebersihannya.

SAWI

Sayur yang seelok-eloknya dikukus atau ditumis ini bermanfaat untuk kesihatan jantung. Benar rasanya memang kurang digemari sesetengah orang tetapi khasiatnya memang tidak dapat dinafikan apatah lagi kandungan tinggi vitamin C sayuran ini.

Bagi yang mahu menjaga kelangsingan tubuh, sawi antara pilihan menarik kerana kandungan seratnya banyak.

Ia juga bermanfaat untuk penghidap diabetes jenis 2 di samping membantu mengawal tahap kolesterol manakala kandungan folatnya baik untuk membantu perkembangan janin.

BROKOLI

Sayur yang tergolong dalam keluarga cruciferous termasuk kubis dan bunga kubis ini sememangnya kaya dengan pelbagai khasiat dengan kalori yang rendah.

Daripada sayur-sayuran lain dalam keluarga ini, brokoli mempunyai sumber vitamin C yang cukup tinggi ditambah pula dengan flavonoid yang diperlukan vitamin C untuk kitaran vitamin ini dengan lebih berkesan. Manakala antioksidan lain dalam brokoli termasuk lutein, zeaxanthin dan beta karotena juga antioksidan lain yang cukup baik.

Pelbagai kajian menunjukkan pengambilan brokoli yang tinggi dikaitkan pengurangan risiko obesiti, diabetes, penyakit jantung juga menggalakkan pertumbuhan kulit dan rambut yang sihat serta meningkatkan tenaga.

Paras kandungan kalsium dan vitamin K dalam sayuran ini juga penting untuk kesihatan tulang dan membantu mencegah osteoporosis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 2:43 AM
Skip this ad x