PESERTA melompat untuk mengelak lopak air yang berlumpur.
PESERTA melompat untuk mengelak lopak air yang berlumpur.
CABARAN merentasi anak Sungai Semungkis Hulu Langat.
CABARAN merentasi anak Sungai Semungkis Hulu Langat.
PESERTA bersiap sedia di garisan permulaan seawal jam 7 pagi.
PESERTA bersiap sedia di garisan permulaan seawal jam 7 pagi.
Fatin Farhana Japre


Meredah lecak, lumpur dan anak sungai dalam hujan renyai. Itu antara cabaran disahut peserta Hulu Langat Trail Run 2017 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Acara disertai 3,200 peserta turut membabitkan 58 pelari dari luar negara antaranya Perancis, India, Thailand, China, Australia, Indonesia, Kenya, Britain dan Singapura yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM17,600 untuk larian sejauh 10 dan 17 kilometer (km).

Program anjuran kali ketiga Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Kembara Events Solutions, Persatuan Kembara Negara, Tourism Selangor dan World of Sports Malaysia bertujuan menjadikan acara ini sebagai platform orang ramai menjalin hubungan sosial terutama dalam kalangan generasi muda. Sekali gus mempromosikan kawasan sekitar Hulu Langat kepada pelancong luar.

Jika dulu hanya terdapat aktiviti maraton di jalan raya, tetapi kini ia sudah beralih kepada aktiviti larian denai atau lebih dikenali sebagai ‘trail run’ dalam kalangan penggiatnya yang hampir 90 peratus adalah belia.

Seawal jam 7 pagi kebanyakan peserta sudah bersiap sedia di garisan permulaan walaupun hujan renyai dan penulis sendiri turut berpeluang merasai pengalaman larian denai ini buat kali pertama.

Tepat 7.30 pagi peserta kategori 17km dilepaskan dan diikuti oleh kategori 10km. Cabaran bermula selepas satu km apabila peserta perlu melalui jalan lecak dan licin. Mereka membantu antara satu sama lain untuk melepasinya. Paling menarik, sukarelawan bertugas di setiap checkpoint dan stesen air tidak putus memberi kata semangat dan ceria menyambut kehadiran peserta.

Pelbagai kejutan mencabar menanti peserta di setiap laluan trek larian kerana kadangkala laluannya curam, berbukit, mendatar, berbatu dan paling menarik peserta kategori 17km perlu merentasi anak Sungai Semungkis, Hulu Langat yang cukup menguji kekuatan fizikal serta mental.

Selain itu, sepanjang larian peserta berpeluang menghirup udara segar dan menikmati alam semula jadi Kampung Hulu Langat dengan melalui kawasan hutan hijau, ladang getah dan kebun buah-buahan.

Peserta, Mohd Hussin Shahidi Abdul Karim, 29, berkata dia berjaya mengharungi semua cabaran bagi kategori 10km dan ini acara Hulu Langat Trail Run kali kedua yang disertainya.

“Laluan trek larian memang mencabar kerana licin dan becak tetapi saya dapat mengimbangi badan supaya tidak tergelincir ketika melalui laluan tanah merah di kawasan hutan.

“Sedikit terkilan apabila tidak dapat merentasi sungai kerana air terlalu deras dan cuaca hujan. Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan pengurusan acara kali ini dan akan menyertainya lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Bagi Nur Adilla Mohd Jamaluddin, 24, ini kali pertama dia menyertai acara larian denai namun berjaya menempuh semua cabaran dan tiba di garisan penamat.

“Saya menyahut cabaran ini kerana tidak pernah mempunyai pengalaman dalam aktiviti lasak sebegini. Bagi saya laluannya sepanjang menuju ke garisan penamat sangat mencabar dengan keadaan cuaca hujan ditambah laluan yang berlumpur dan licin. Namun saya tetap berjaya menamatkan larian sehingga ke garisan penamat dan mendapat ramai rakan baru sini,” katanya.

Pengurus acara Hulu Langat Trail Run 2017 Mohd Afnal Rosli, 31, berkata acara ini antara ditunggu-tunggu peminat sukan lasak yang sukakan cabaran dan akan dijadikan program tahunan di lokasi sama.

“Pihak kami menyasarkan program ini sebagai acara tahunan di Selangor dan bermula tahun hadapan kami akan pelbagaikan jarak larian berbanding 10 dan 17km untuk menarik lebih ramai peserta bagi kategori terbuka lelaki, terbuka wanita, terbuka veteran lelaki serta terbuka veteran wanita.

“Di samping itu, kami mahu menarik lebih ramai pelancong luar dan dalam negara berkunjung ke Hulu Langat. Ia bukan saja mempromosikan lokasi menarik di sini sekali gus menambah sumber pendapatan penduduk tempatan,” katanya.

Sepuluh peserta pertama yang berjaya tiba di garisan penamat bagi setiap kategori pertandingan akan menerima wang tunai, baucar tajaan HOKA One One dan trofi.

Manakala peserta lain yang tidak berjaya tiba awal di garisan penamat mendapat pingat sebagai tanda kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 5:56 AM