SAFIQ (tengah) menjaringkan gol keduanya.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menjadikan Melaka United (MU) mangsa amukan selepas membelasah pasukan itu 7-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu amat penting buat skuad Harimau Selatan untuk terus mengekori rapat pendahulu liga, Pahang dan Kedah yang mengumpul 19 mata ketika skuad kendalian Benjamin Mora hanya dipisahkan dua mata.

Skuad Harimau Selatan bagaikan ingin menebus kekecewaan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut pada aksi Piala FA dan Piala AFC apabila mempamerkan penguasaan sejak awal.

Hanya tujuh minit diperlukan anak didik Mora untuk merungkai jaringan selepas gerakan yang dimulakan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham tepat kepada Gabriel Guerra yang berada di dalam kotak penalti bertindak merembat bola leret menewaskan Fazli Paat.

Benteng pelawat yang tampak rapuh mudah dihukum tuan rumah pada minit ke-18 selepas bola umpanan Gonzalo Cabrera dibiarkan Hazwan Bakri yang membuka ruang kepada Safiq Rahim untuk mudah menolak bola menerjah jaring.

Tuan rumah terus menambah derita skuad kendalian Eric Williams apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-23 selepas bola lorongan Safiq tepat kepada Amirul Hadi Zainal yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dan mudah menolak bola menewaskan Fazli.

Penguasaan ketara tuan rumah membolehkan mereka menambah derita pelawat selepas gol keempat terhasil pada minit ke-34 berpunca daripada bola umpanan pemain gantian Azamuddin Akil menyaksikan Cabrera bingkas merembat bola leret yang terkena tiang kanan sebelum bergolek masuk.

Tidak sampai seminit selepas rehat, gol kelima menyusul buat tuan rumah selepas bola hantaran Guerra membuka ruang untuk Azamuddin yang merembat kencang mengatasi Fazli.

Safiq mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-59 untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 6-0 selepas mudah menyempurnakan umpanan Cabrera yang langsung tidak dikawal pertahanan pelawat.

Tindakan Godwin Brago mengasari Azrif dalam kotak penalti menyaksikan pengadil Razlan Jefri Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-88 dan Safiq yang mengambil sepakan itu mudah mencipta jaringan untuk melakar hatrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:38 AM