AFP

Shanghai: Lewis Hamilton mencatat kemenangan pada Grand Prix China di Shanghai semalam, membalas dendam berikutan kekalahannya kepada Sebastian Vettel dalam perlumbaan pembuka tirai Formula Satu musim ini.

Pemandu Britain itu yang bermula dari petak pertama, memecut Mercedes yang dipandunya untuk menjuarai Grand Prix China buat kelima menewaskan pelumba Ferrari Vettel dengan hanya enam saat manakala pelumba Red Bull Max Verstappen menduduki tangga ketiga selepas insiden membabitkan kereta keselamatan pada awal perlumbaan.

“Masuk ke sana Lewis,” kata jurutera Hamilton menerusi radio pasukan selepas juara dunia tiga kali itu melepasi garisan penamat di China buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun terakhir.

“Perlumbaan hebat, kawan. Kelas tersendiri.”

Hamilton membalas: “Kita bekerja keras untuk ini, kita perlu terus berjuang.”

Vettel bangkit daripada permulaan buruk di barisan pertama dan selepas tersekat di belakang rakan sepasukan Ferrari Kimi Raikkonen sebelum itu, dia terus memecut dengan kepantasan yang pernah membawa pelumba Jerman itu menjulang kejuaraan di Melbourne dua minggu lalu.

Vettel terlebih dulu memintas Raikkonen sebelum bersaing sengit dengan pelumba Red Bull Daniel Ricciardo di selekoh ketujuh, mengeluarkan asap biru ketika kedua-dua kereta bergesel.

Verstappen berada di depan tetapi pemandu Jerman itu yang mempamerkan aksi hebat di selekoh pertama biarpun bermula di petak ke-16, mengalami masalah kereta sekali gus membolehkan Vettel merampas tempat kedua.

Sementara itu Hamilton tidak berdepan sebarang ancaman biarpun pencabarnya dari Jerman terus mencatat masa terpantas setiap pusingan.

“Grazie a tutti! (Terima kasih semua!)” kata Vettel menerusi radio. “Saya fikir kami tidak bernasib baik. Saya rasa kamilah yang terpantas. Kami tidak dapat membuktikannya hari ini tapi akan melakukannya selepas ini.”

Ricciardo di tangga keempat di belakang Verstappen selepas persaingan sengit antara dua pelumba Red Bull itu dengan Raikkonen menamatkan perlumbaan di tempat kelima mendahului rakan senegara dari Finland Valtteri Bottas yang memandu Mercedes.

Carlos Sainz yang memandu Toro Rosso di tangga ketujuh manakala Kevin Magnussen dari Haas di tempat kelapan dan dua pelumba Force India Sergio Perez dan Esteban Ocon melengkapkan 10 tangga teratas.

Bottas meminta maaf kerana melakukan kesilapan ketika berada di belakang kereta keselamatan yang menyebabkannya jatuh ke tangga ke-12.

“Minta maaf semua kerana kesilapan amatur ini,” kata Bottas yang sebelum itu dipanggil ‘Nico’ menerusi radio pasukan. Saya akan cuba menebusnya pada perlumbaan berikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:45 AM