Muhamaad Razis Ismail


Tanah Merah: Empat maut, termasuk tiga sekeluarga dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kota Bharu - Machang - Jeli dekat Kampung Batu 9, Batang Merbau di sini, awal pagi hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 1.30 pagi itu, mereka yang maut ialah Mohd Roza Ismail, 38, Muhamad Saiful Sidik, 17, dan ibunya, Paridah Ismail, 54, serta anak saudara, Nur Assyifa' Muhamad Shaharil, 3.

Dua lagi cedera parah iaitu abang dan kakak Muhamad Saiful dikenali sebagai Muhamad Shaharil, 31, dan Suhailah, 23.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga dipandu Muhamad Shaharil hilang kawalan, bertembung dengan kereta dipandu Mohd Roza yang dari arah Jeli ke Machang.

“Pertembungan menyebabkan Proton Saga dinaiki mangsa sekeluarga terbabas dan terbalik di kanan jalan menghala ke Jeli.

"Kita menerima laporan kemalangan pada 1.39 pagi dan tiga daripada empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Dua lagi cedera parah," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) di sini, untuk dibedah siasat, manakala mangsa cedera dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 10:53 AM
Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan empat orang. - Foto Ihsan Pembaca