Wan Asrudi Wan Hasan dan Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Polis menahan sepasang kekasih dan merampas heroin seberat 3.62 kilogram (kg) bernilai RM90,500 di tepi jalan berhampiran Taman Intan, Parit Buntar dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menjalankan siasatan berhubung kegiatan suspek.

Beliau berkata, pemantauan dijalankan sejak beberapa bulan lalu sebelum serbuan dilakukan berhampiran Taman Intan, Khamis lalu jam 10.30 malam.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, suspek berusia 36 tahun bersama teman wanitanya berumur 34 tahun berada dalam Proton Waja dan dipercayai sedang menjalankan urusan penjualan dadah.

"Pemeriksaan di dalam kereta menjumpai lapan bungkus plastik mengandungi heroin yang disorok dalam beg sekolah.

"Suspek lelaki bekerja sebagai petani manakala teman wanitanya tidak bekerja," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine melalui ujian air kencing dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Ravi berkata, suspek direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 11:47 AM
Ravi  menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Abdullah Yusof
Ravi menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Abdullah Yusof