Shamsul Anuar (kiri) bersama Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, Arbain Pinni (duduk kanan) melihat Sofea Irdina Norizaman, 14, menggunakan komputer ketika membuat tinjauan ke sebuah kelas selepas majlis penyerahan sumbangan CSR PTPTN Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran) di SMK Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Tindakan sekatan ke luar negara terhadap mereka yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya membabitkan jumlah sekitar sembilan peratus saja.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah diambil perbadanan itu bukan perkara luar biasa malah ia turut diamalkan pelbagai pihak lain di negara ini.

"Selain itu, sekatan dibuat ini adalah langkah terakhir kepada sejumlah peminjam yang sukar (untuk membuat pembayaran) dan diharap, ini akan membolehkan PTPTN berhubung dengan mereka.

"Jika sebelum ini mereka tidak berurusan dengan kita, melalui cara ini peminjam akan datang kepada PTPTN malah, kita sentiasa mengamalkan konsep terbuka sesuai dengan kempen iaitu 'boleh bincang'," katanya kepada pemberita pada Penyerahan Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN Program Pendidikan Khas Integrasi (Bermasalah Pembelajaran) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peminjam yang masih berdegil supaya membayar balik pinjaman berkenaan dengan segera bagi mengelakkan sebarang masalah.

"Saya berharap sasaran mendapatkan pulangan semula sebanyak RM4 bilion pada tahun ini tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 2:13 PM