Kemalangan yang mengorbankan pejalan kaki wanita warga emas malam semalam. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Wanita warga emas berusia 71 tahun maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di kilometer 106.5 Jalan Johor Bahru- Melaka, dekat sini, 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Minah Muslim berasal dari Kampung Parit Bakong, di sini dan terpelanting ke seberang jalan akibat dilanggar kenderaan itu.

Katanya, pemandu kereta itu yang berusia 20 tahun dari Kampung Sungai Merlong tidak cedera dan dia dalam perjalanan dari Bandar Batu Pahat ke Senggarang.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa melintas jalan dan pemandu kereta terlanggar pejalan kaki itu mengakibatkan mangsa terpelanting ke laluan bertentangan.

"Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kawasan kejadian gelap tanpa lampu jalan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 6:24 PM