BOT pukat tunda yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga awak-awak warga Thailand dan merampas bot pukat tunda kerana melanggar syarat lesen di perairan pulau ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 1 Langkawi (DM1) Komander Maritim R Vincent berkata, bot serta nelayan itu ditahan pada 8 pagi, Sabtu lalu oleh sepasukan anggota APMM di perairan Tanjung Belua di sini.

"Ketika rondaan, bot peronda maritim telah mengesan bot pukat tunda kelas B1 sedang menarik pukat pada jarak kurang lapan batu nautika dari pantai.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dinaiki tiga awak-awak warga Thailand berusia 26 hingga 50 tahun dan kita turut merampas hasil tangkapan dianggarkan 300 kilogram bernilai lebih RM700," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot pukat tunda dan awak-awak terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika.

Sehubungan itu, beliau berkata, APMM akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penangkapan ikan secara tidak sah di perairan pulau pelancongan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 7:36 PM