Muhammad Firman Ramadhan mengidap jantung berlubang dan memerlukan RM58,000 untuk membiayai kos pembedahan. FOTO Zulfadli Zulkifli
Muhammad Firman Ramadhan mengidap jantung berlubang dan memerlukan RM58,000 untuk membiayai kos pembedahan. FOTO Zulfadli Zulkifli
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri mengharapkan bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan bayi lelaki mereka berusia lapan bulan yang mengidap jantung berlubang dan saluran injap sempit.

Bayi berkenaan, Muhammad Firman Ramadhan Muhammad Fareed memerlukan RM58,000 untuk membiayai kos pembedahan menutup lubang pada jantung dan membetulkan saluran injap yang dijangka dilakukan pada 26 April ini.

Ibunya, Nurul Nadiah Mohamad Tuah, 26, berkata, dia dan suami, Muhammad Fareed Zine, 25, mendapat tahu bayi mereka mengidap jantung berlubang sebulan lalu ketika anaknya mengalami demam panas dan badan bertukar kebiru-biruan.

"Kami sangat terkejut kerana sebelum ini dia aktif dan tiada sebarang tanda menunjukkan dia sakit tetapi selepas dirujuk ke hospital, doktor mengatakan Muhammad Firman mengidap jantung berlubang dengan saiz lubang yang agak besar.

"Kami sangat berharap bantuan dari orang ramai supaya anak kedua kami ini dapat membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain selepas melakukan pembedahan awal," katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, di sini.

Suri rumah itu berkata, dia tidak mampu untuk menampung kos pembedahan itu memandangkan suaminya hanya pekerja hotel dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media Prima NSTP ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan nama Muhammad Firman Ramadhan di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 3:20 PM