Pil kuda yang dirampas dalam serbuan di FELDA Gunung Bersout, Sungkai.
Muhammad Apendy Issahak


Sungkai: Polis merampas 180,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta dalam serbuan di rumah di FELDA Gunung Besout, di sini awal pagi tadi.

Serbuan jam 2 pagi itu turut menahan dua suspek termasuk seorang penyelia ladang selain rampasan dadah syabu seberat 8.7 gram.

Menurut sumber, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis (IPD) Muallim membuat serbuan di rumah didiami kakitangan FELDA Gunung Besout 2 itu dan pemeriksaan mendapati dua lelaki berada dalam rumah terbabit.

"Sampai dirumah berkenaan polis ketuk pintu dan selang beberapa minit pintu dibuka oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai tuan rumah.

"Pemeriksaan keatas fizikal lelaki itu tiada menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang dan polis kemudian jalankan pemeriksaan dalam bilik berhampiran dapur dimana seorang lagi lelaki sedang duduk diatas lantai dalam bilik itu," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan kemudian dilakukan keatas sebuah beg sandang berwarna gelap bertulis diatas lantai dalam bilik berkenaan menjumpai tiga bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (8.70 gram) dan bungkusan plastik lutsinar berisi 22 pil kemerahan bertulis "WY" disyaki pil kuda dalam ruang berzip beg.

"Kedua-dua suspek kemudian dibawa untuk buat pemeriksaan dibilik tengah rumah pula dan tuan rumah menunjukkan reaksi gelisah. Hasil pemeriksaan lanjut yang dibuat dalam bilik tengah itu menjumpai satu kotak berwarna putih yang diletakkan diatas lantai bilik yang dalamnya mengandungi 90 bungkusan berwarna kekuningan.

"Setiap bungkusan itu mengandungi 10 paket plastik berwarna biru didalamnya berisi pil-pil kemerahan dan kehijauan yang bertulis "WY" disyaki dadah dengan jumlah berat keseluruhan bagi 90 bungkusan berwarna kekuningan adalah 20.3 kilogram atau 180,000 pil," katanya.

Sumber berkata, tangkapan adalah membabitkan penyelia ladang berusia 35 tahun dan seorang peniaga berusia 36 tahun.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak Asisten Komisioner V R Ravi Chandran ketika dihubungi mengesahkan mengenai rampasan lebih 100,000 pil kuda berkenaan dan menurutnya Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan akan membuat sidang media berhubung kejayaan itu dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:10 PM