Reuters

Jakarta: Suruhanjaya pencegahan rasuah Indonesia (KPK) semalam mengecam satu serangan asid terhadap seorang penyiasat kanan yang mengendalikan satu kes rasuah yang dikaitkan dengan puluhan ahli politik.

KPK dalam satu kenyataan berkata, serangan terhadap Novel Baswedan pada awal pagi semalam tidak akan menggugat semangat agensi itu dalam memerangi dadah.

Siasatan terhadap penyelewengan dana AS$170 juta (RM754 juta) untuk pembelian kad pengenalan elektronik, e-KTP adalah kes terbesar dikendalikan agensi berkenaan.

Dua tertuduh yang dibicarakan atas tuduhan rasuah itu memberitahu mahkamah sekurang-kurangnya 37 ahli politik mendapat manfaat daripada dana berkenaan termasuk Speaker parlimen, Novanto.

Kelmarin, KPK menghalang Novanto daripada ke luar negara selama enam bulan.

Polis berkata, seorang penyerang tidak dikenali menyimbah asid ke muka Novel ketika dia pulang daripada solat Subuh di sebuah masjid semalam.

“Novel dirawat di hospital akibat cedera di mata dan muka. Kami menyiasat sama ada serangan ini berkaitan dengan tugasnya,” kata ketua polis Jakarta, Mochammad Iriawan.

Menurut KPK, ini bukan kali pertama Novel diserang dan agensi itu tidak gentar dengan tindakan demikian.

Novel sebelum ini hampir ditangkap polis selepas menyiasat kes rasuah berkaitan pegawai polis dan pernah menjadi sasaran serangan langgar lari.

“Kami mengecam keras serangan tidak bertamadun terhadap Novel. Kami juga tidak akan berhenti memerangi rasuah,” kata KPK dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mahu polis segera menyiasat serangan berkenaan dan menggesa pegawai KPK berwaspada.

“Ini adalah satu serangan kejam. Semua penyiasat perlu berjaga-jaga dan bekerja keras,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 7:49 AM