BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong perlu mengambil serius kemerosotan prestasi supaya peluang mereka tidak terjejas untuk beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Scotland, Ogos ini.

Mengikut ranking dunia terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada 6 April lalu, V Shem-Wee Kiong yang sebelum ini menduduki tangga kedua kini jatuh dua anak tangga selepas sekadar menamatkan saingan di suku akhir Kejohanan Seluruh England dan Terbuka India.

Paling mengejutkan, pemenang perak Olimpik Rio itu dimalukan di halaman sendiri oleh pasangan bukan pilihan dari Hong Kong Tang Chun Man-Or Chin Chung 17-21, 21-23 seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, minggu lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata V Shem-Wee Kiong perlu memastikan kedudukan mereka terus kekal sekurang-kurangnya dalam kelompok lima terbaik dunia.

“Kami (BAM) sangat kecewa dengan prestasi tidak konsisten mereka. V Shem dan Wee Kiong perlu kembali fokus di gelanggang dan memenangi perlawanan siri super selepas ini.

“Kita tidak mahu ranking dunia mereka ini terus jatuh sehingga boleh menjejaskan peluang untuk beraksi di Kejohanan Dunia nanti,” katanya.

Hanya lapan pemain terbaik dunia setiap kategori layak beraksi di Kejohanan Dunia di Scotland yang akan diumumkan BWF, Mei depan.

Justeru, V Shem-Wee Kiong perlu menunjukkan perkembangan positif dalam Kejohanan Badminton Terbuka Singapura yang mula berlangsung hari ini sehingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:04 AM