SEBAHAGIAN pemain bergambar sebelum sepak mula.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Petaling Jaya: Karnival Bola Sepak 7 sepasukan Perpaduan-Samba Bola B12 merebut Piala Datuk Santokh Singh yang berlangsung di padang Seksyen 7 Kota Damansara baru-baru ini padat dengan aksi bertenaga semua peserta.

Karnival bermatlamat menghormati jasa dan kehebatan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh itu bertujuan memberi peluang kepada peserta mempersembahkan bakat mereka.

Sambutan tahun ini dianggap lebih meriah kerana menggamit 32 pasukan dari seluruh negara.

Semua pasukan disifatkan membawa misi penganjur dengan mendaftar dua kaum berbeza sebagai syarat utama karnival.

Santokh menyifatkan karnival berkenaan peluang terbaik buat kanak-kanak mempamer bakat sambil diselangi sikap berdaya saing, cergas, semangat kesukanan dan perpaduan.

“Karnival ini jelas memberi peluang untuk merasai pengalaman perlawanan sebenar dan dengan adanya karnival seperti ini, baru mereka tahu apa itu bola sepak.

“Terlalu banyak latihan juga tidak akan memberi motivasi kepada mereka. Yang penting mendapat pengalaman dan mempamerkan skil bola sepak,” katanya.

Juara edisi kelima itu milik Soccer Star FC selepas menang 3-1 ke atas Osama FC menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan seri.

Tempat ketiga milik pasukan Kelab Bola Sepak Kota Damansara manakala keempat pasukan Young Guns Academy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:07 AM