ANDIK (kiri) dijangka lapor diri pada 20 April ini.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor P Maniam mengalu-alukan kehadiran semula pemain import dari Indonesia Andik Vermansyah yang dijangka melaporkan diri pada 20 April ini.

Menurut pengendali Red Giants itu, Andik sudah kembali sembuh daripada kecederaan namun beliau perlu memantau tahap sebenar pemain itu.

“Daripada apa yang saya tahu, 20 April ini Andik akan kembali jadi saya harap dia akan datang.

“Saya difahamkan dia sudah pulih daripada kecederaan dan sudah boleh berlatih. Kalau dia boleh bermain semula memang bagus untuk pasukan tapi buat masa ini, saya tidak mahu komen lagi mengenai kedudukannya.

“Apa yang kita tahu, dia masih ada baki kontrak setahun dengan Selangor,” kata Maniam ketika dihubungi semalam.

Andik, 25, sebelum ini berehat panjang selepas mengalami kecederaan lutut ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia dalam saingan Piala AFF hujung tahun lalu.

Ketiadaannya mendorong Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membawa masuk pemain Timor Leste Juliano Mineiro Fernandes bagi melengkapkan kuota pemain import Asia dengan kontrak sehingga Jun ini.

Kehadiran semula Andik membuatkan FAS terpaksa membuat penilaian terbaik mengenai pemain import yang ingin dikekalkan. Dua lagi pemain import ialah Victor Astafei dari Romania dan Ugo Ukah (Nigeria).

Prestasi Selangor dalam saingan Liga Super ketika ini tidak mengecewakan apabila menduduki tangga keempat meskipun bergelut dengan masalah kewangan pada awal musim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:13 AM