Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara menerima perkhabaran kurang gembira apabila penyerang muda negara Shahril Saabah disahkan tidak dapat beraksi di pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura bermula 17 Januari depan akibat kecederaan bahu kanannya.

Ketiadaan Shahril yang mengalami kecederaan itu ketika sesi latihan sebelum ini bermakna, skuad bimbingan Tai Beng Hai kehilangan juga seorang pemain yang pakar dalam mengambil pukulan sudut penalti.

Beng Hai yang mengesahkan perkara itu selepas tamat perlawanan persahabatan kedua bertemu Poland di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam berkata, Shahril menyatakan sendiri hasrat untuk menarik diri.

“Sebelum turun perlawanan persahabatan hari ini (semalam), Shahril sendiri beritahu saya doktor nasihatkannya untuk berehat. Jadi dia memang sudah terkeluar daripada sesi pemilihan,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, Shahril berkata, dia memang merasai kesakitan amat sangat di bahu kanannya.

“Sehinggakan nak hayun kayu hoki pun tak boleh. Sebab itu saya fikir memang tak boleh beraksi di Singapura.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:08 AM