TENGKU Mahaleel.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Lin Dan, He Guo Quan bakal memikul tugas besar selaku ketua jurulatih perseorangan, manakala Jeremy Gan yang sebelum ini mengendalikan beregu campuran akan mengetuai beregu.

Penstrukturan semula bidang tugas jurulatih itu dikatakan dibuat untuk persediaan Piala Sudirman 2015 Dongguan, China (Mei) dan Sukan SEA 2015 Singapura (Jun).

Keputusan agak mengejutkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu tidak diumumkan dalam sidang media kelmarin oleh Presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff tetapi sudah dimaklumkan kepada jurulatih dalam satu perjumpaan.

Tindakan ini dipersoalkan jurulatih lain yang keliru mengenai penstrukturan baru itu, berbeza dengan janji sebelum ini bahawa sebarang perubahan 100 peratus akan dibuat oleh Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen yang datang Mac depan.

“Kalau 100 peratus hendak dilepaskan kepada Frost kenapa mereka melakukan penstrukturan semula. Tugas diberikan kepada Frost secara mutlak adalah alasan BAM saja,” kata seorang jurulatih senior yang enggan dikenali.

Katanya, perkara itu tidak diumumkan dalam sidang media kelmarin dan sekarang ia pula dibuat sebelum Frost datang ke Malaysia.

“Tindakan ini seperti ada udang di sebalik batu. Semalam (kelmarin) mereka kata ada penstrukturan baru tetapi sebelum ini cakap tunggu Frost.

“Kenapa ada struktur baru, siapa yang buat?. Sekarang ketua jurulatih perseorangan dan beregu ditukarkan kepada orang lain. Ini bermakna siapa yang paling berkuasa?” soalnya.

Menurut beliau, tindakan itu dibuat bagi membolehkan jurulatih tertentu mempunyai kuasa, apabila Frost datang perkara itu terpaksa diteruskan.

“Pelik mereka yang tidak turun gelanggang tiga hingga empat bulan diberi tanggungjawab ini. Adakah ini yang dinamakan perancangan terbaik?,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:10 AM