MAKANAN daripada sumber semula jadi dan berkhasiat boleh diperkenalkan kepada bayi berusia enam bulan ke atas.
SEDIAKAN bahan diperlukan.
POTONG dadu dan hancurkan tembikai susu serta pisang menggunakan pengisar secara berasingan.
POTONG dadu dan hancurkan tembikai susu serta pisang menggunakan pengisar secara berasingan.
REBUS kuskus sehingga kembang.
CAMPUR semua adunan ke dalam bekas.
HIDANGAN kuskus sedia dinikmati bayi.
Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Menu ringkas dan senang dimasak selain menyihatkan pasti menjadi pilihan utama ibu bapa bekerja menyediakan hidangan buat si kecil.

Perut bayi yang masih kecil sememangnya tidak memerlukan saiz hidangan besar. Sebaliknya, cukuplah dengan hidangan bersaiz kecil, mudah dihadam dan mampu memberikan khasiat diperlukan bayi untuk melancarkan proses tumbesaran.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Baby Eats By Justlixa (BeBJ) Nor Haliza Ghazali berkata, selepas melepasi usia enam bulan, sudah masanya memperkenalkan makanan pejal kepada bayi dengan melakukan percubaan terhadap makanan sesuai.

“Kebiasaannya, kesan intolerans atau alahan terhadap sesuatu makanan itu mengambil masa antara tiga hingga empat hari selepas diperkenalkan kepada sesuatu hidangan.

“Sebaiknya, ikut peraturan empat hari untuk jarak antara menu baru ketika memberikan makanan atau hidangan sama kepada bayi sebagai cara terbaik bagi mengenal pasti jenis makanan yang tidak sesuai atau disukainya,” katanya.

Ujarnya, selepas mengenali makanan pejal, usia lapan bulan (bergantung kepada bayi) ialah tempoh sesuai untuk memperkenalkan makanan bertekstur bagi melatih si kecil mengunyah.

Bagi memudahkan ibu berkerjaya, sajian yang siap dimasak boleh disimpan hingga enam bulan jika dimasukkan ke dalam penyejuk beku.

Namun, jika sajian yang disejuk beku itu sudah mengalami proses cair beku (nyahfros), ia perlu dihabiskan dalam tempoh 24 jam.

Bagi ibu yang masih tercari-cari resipi hidangan untuk bayi berusia tujuh bulan ke atas, boleh cuba sajian kuskus yang dikongsi oleh Nor Haliza.

Jika tidak mempunyai kuskus (pasta daripada adunan suji dan air yang dikukus), boleh gantikan dengan oat atau bubur beras perang.

Selain itu, jika ingin mencampurkan sajian dengan pisang, sebaik-baiknya ia dikisar berasingan dan paling akhir dimasukkan ke dalam adunan bagi mengelak makanan berubah warna.

BAHAN:

• Separuh biji tembikai susu (bergantung kepada saiz pisang)

• 2 biji pisang

• 3 sudu kecil atau 2 sudu besar kuskus

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 12:54 PM