Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Gunakan ilmu yang dipelajari semasa perlawanan. Itulah harapan jurulatih Perak, Datuk M Karathu kepada pemain The Bos Gaurus apabila turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan persahabatan di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Bagi Karathu apa yang penting ialah pemain mempraktik apa yang diajar beliau dalam suasana perlawanan sebenar dan peluang itu menjelma dalam perlawanan malam ini.

“Keputusan perlawanan tidak penting yang saya mahu lihat kemampuan pemain menerapkan apa yang dipelajari semasa latihan dalam perlawanan.

“Mereka perlu tunjukkan apa yang mereka boleh lakukan dalam padang,”katanya.

Beliau yang juga pengurus pasukan kelihatan menekankan aspek taktikal semasa bertahan dan menyerang serta ‘set piece’ dalam usaha memantapkan pasukan Perak .

“Sesebuah pasukan perlu ada corak permainan tersusun, sistematik serta taktikal mantap.

“Aspek inilah yang sedang saya terapkan dalam pasukan Perak ketika ini. Inilah yang saya mahu lihat dalam permainan nanti,”katanya.

Katanya beberapa pemain muda yang diperkenalkan menunjukkan kemampuan dan kesungguhan tinggi serta tampak berkeupayaan membawa percaturan taktikal yang cuba diperkenalkannya.

“Mereka muda dan cepat belajar. Ini petanda baik buat masa hadapan pasukan,”katanya.

Beliau juga berusaha mempertajamkan jentera serangan yang hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan persahabatan setakat ini.

Dua gol itu diperolehi dalam dua perlawanan menentang Kedah manakala dalam perlawanan terbaru dengan Pulau Pinang, Ahad lalu berkesudahan seri 0-0.

“Kami sepatutnya menang perlawanan itu sekurang-kuranngya tiga gol tetapi malangnya pemain gagal menyempurnakan peluang terbuka.

“Jadi saya berharap pemain tidak mensia-siakan peluang depan gawang lawan,”tegasnya.

Beliau akan terus memberi peluang kepada semua pemain beraksi agar dapat mewujudkan pasukan seimbang kecuali mereka yang masih mengalami kecederaan.

Apa yang pasti perlawanan ini cukup menarik kerana ATM tampil dengan kesebelasan utama termasuk Nor Shahrul Idlan Talaha atau ‘Mat Yo’ serta beberapa bekas pemain pasukan Yob iaitu Mohd Azmeer Yusof dan Mohd Razi Effendi Suhit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:24 AM