Anggota APMM memeriksa dua bot pump yang menangkap ikan menggunakan bom di perairan Pulau Gaya. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana


Pulau Gaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu merampas kira-kira 200 kilogram ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom di 0.2 batu nautika Kampung Pondo, di sini, tengah malam tadi.

Rampasan jam 12.40 tengah malam itu dilakukan pasukan bot ronda APMM selepas mengesan dua bot pump dalam keadaan mencurigakan dan tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Pengarah APMM Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot pump itu memecut laju ke persisiran Kampung Pondo sebelum tekong terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan paya bakau.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua bot pump itu menemui pelbagai jenis ikan kira-kira 200 kg dan peralatan melakukan aktiviti mengebom ikan.

"Semua rampasan dibawa ke Jeti APMM di Teluk Sepanggar, di sini, untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sementara itu, Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Mohd Zubil Mat Som berkata, mereka yang terbabit dalam aktiviti bom ikan boleh disabitkan mengikut Akta Perikanan 1985 dengan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mereka juga boleh disabitkan dengan kesalahan menyimpan dan memiliki bahan letupan mengikut Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dengan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan.

"Oleh itu, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti bom ikan dan akan memastikan mereka dijatuhkan hukuman yang maksimum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 3:51 PM