Nik Aminuddin (tengah) menunjukkan sebahagian pil kuda yang dirampas. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Dua pengedar dadah ditahan ketika menunggu pelanggan dalam dua serbuan berasingan di sini, petang semalam.

Mereka ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, masing-masing pada 6.30 petang dan 7.16 malam.

Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pada serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Jelawat, polis menahan lelaki berusia 24 tahun yang menunggu seseorang.

"Bersamanya ditemui 40 tiub straw mengandungi 400 biji pil kuda di poket seluar.

"Serbuan kedua di Pantai Irama, kita menahan lelaki berusia 31 tahun yang turut berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik melihat anggota, dia mencampakkan bungkusan berisi dadah di bawah pokok kelapa tumbang. Bungkusan itu berisi 579 pil kuda dan 160 gram syabu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang positif dadah kini direman tujuh hari sehingga 18 April.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 B akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 5:20 PM